Tuesday, July 30, 2019

Penghasilan kereta nasional bantu kembangkan industri automotif - PM

Oleh Irwan Shafrizan Ismail dan Suhaila Shahrul Annuar
PUTRAJAYA: Usaha kerajaan memperkenalkan kereta nasional pertama pada 1983 adalah satu langkah ke hadapan untuk menjadi sebuah negara perindustrian, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, tindakan kerajaan menerokai bidang industri automotif membuka lembaran baharu dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat dalam bidang teknikal pada masa itu.

“Bila kita ada kereta nasional, kita berjaya kembangkan industri pembuatan kereta dan semakin ramai pekerja berkemahiran yang berjaya dilahirkan hasil perkembangan industri ini.

“Selangkah demi selangkah dalam industri ini, hari ini kita ada kemahiran dalam bidang kejuruteraan automotif, pemasangan enjin, mereka, mengeluarkan komponen dan kereta.

“Inilah hasil apabila kita ambil satu langkah ke hadapan menjadi negara industri yang bukan saja membekal kereta, tetapi barangan dan komponen lain juga. Inilah hasrat kita apabila memperkenalkan kereta nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog bersama wakil industri sempena Persidangan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) 2019 di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, keupayaan negara dalam industri automotif perlu dipertingkatkan setiap masa selaras dengan pembangunan teknologi terkini.

“Kereta Proton pertama, Proton Saga dengan sekarang ini berlainan sama sekali, pada ketika itu pembuatan kenderaan mudah tapi sekarang ada lebih 200 komponen dan cip elektronik dalam kereta supaya kenderaan dapat dipacu dengan lebih mudah dan selamat.

“Kemahiran yang ada perlu terus diperkembangkan, sekarang komponen dan pembuatan kenderaan banyak menggunakan automasi dan mesin robotik yang juga menjadi satu kemahiran dan ini yang mesti dikuasai kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir mengakui tidak senang hati dengan kebanjiran dan jumlah pekerja asing di negara ini, justeru beliau mahu tenaga kerja tempatan merebut peluang pekerjaan yang ada khususnya dalam industri pembinaan.

Perdana Menteri berkata, rakyat tempatan perlu sanggup bekerja terutama dalam bidang pembinaan memandangkan hampir tiada tenaga kerja tempatan dalam sektor berkenaan.

“Kita dapati di Malaysia, terdapat ramai yang tidak ada kerja... orang asing datang dan dapat kerja di sini.

“Kalau kita sanggup buat kerja itu maka, orang asing tak (tidak) payah datang. Kita menghadapi masalah di mana berbilion wang diterima oleh pekerja asing dihantar pulang ke negara asal mereka,” katanya

Beliau berkata, jika rakyat tempatan sanggup bekerja dalam bidang berkenaan, beliau yakin pendapatan yang diperoleh boleh diguna dalam negara, sekali gus boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dalam negara.

Dr Mahathir berkata, apa yang penting adalah rakyat tempatan tidak seharusnya memberi peluang pekerjaan kepada pekerja asing.

Katanya, setiap bidang memerlukan kemahiran dan ia bergantung pada kehendak sendiri sama ada mahu atau tidak.

“Kalau kita tidak sanggup maka, kita tidak dapat kecekapan yang diperlukan itu. Sebab itu, pekerja asing datang ke Malaysia dan mereka dapat kerja berkenaan sekali gus mencapai kecekapan yang ditawarkan.

“Setiap bidang dan industri pekerjaan memerlukan kepakaran dan kebolehan itu banyak ditawarkan menerusi skim TVET yang ditawarkan banyak kementerian menerusi kursus-kursus tertentu. Soalnya kita sanggup bekerja atau tidak,” katanya.