Tuesday, July 30, 2019

Sikap rakyat Malaysia antara penyebab lambakan pekerja asing - MPN

KUALA LUMPUR: Sikap rakyat Malaysia yang mahu mengambil jalan mudah dan 'mudah menerima' dilihat antara penyebab pekerja asing menjadikan Malaysia sebagai 'lubuk rezeki', menurut Majlis Profesor Negara (MPN).
Setiausaha Agung MPN, Prof Datuk Dr Raduan Che Ros berkata, sikap rakyat Malaysia yang tidak mahu merebut peluang diberikan kerajaan, menyebabkan ada beberapa sektor termasuk perniagaan dikuasai pekerja asing.

Perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana lesen perniagaan hanya dikeluarkan kepada rakyat tempatan, katanya.

"Orang kita malas. Jika kita mengatakan tidak ada peluang, bagaimana mereka (pendatang asing) boleh ada peluang itu? Mereka mencari peluang itu, mula-mula mereka datang mencari kerja dan kemudian menjadi tauke," katanya.

Raduan berkata demikian pada Persidangan Dilema Negara: Isu dan Cabaran Pekerja Asing di Malaysia anjuran MPN yang dihadiri 200 ahli akademik seluruh negara di sini, Isnin.

Anggota Jawatankuasa Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa MPN Prof Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Aziz pula berkata sikap segelintir rakyat yang mudah 'menerima kemasukan' menyebabkan warga asing senang berasa selesa di sini.

"Sifat kemanusiaan kita juga terlalu tinggi (terhadap pekerja asing). Bila mereka tidak berumah, kita beri kawasan kepada mereka dan lama-kelamaan, jika tidak dikawal, ia semakin berleluasa," katanya.

Abdul Rahman berkata keadaan itu semakin meruncing apabila ada kawasan seolah-olah 'dikuasai oleh kumpulan pekerja asing mengikut negara asal' sehingga berlaku ada warga tempatan yang berpindah kerana tidak tahan dengan keadaan itu.

Antara menjadi kebimbangan, selain faktor keselamatan adalah faktor kebersihan kerana ada pekerja asing yang membawa bersama amalan kebersihan negara asal, tambah beliau.
"Sebab itu perlunya diwujudkan sebuah pusat khas untuk mengajar pekerja asing mengenai amalan dan budaya negara kita. Bukan sekadar ejen bawa masuk, lalu terus dihantar ke tempat bekerja," katanya.

Anggota Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Pengurusan MPN Prof Dr Asan Ali Golam Hassan berkata, lambakan pekerja asing di negara ini akan menyebabkan bilangan isi rumah miskin bandar terus meningkat.

Menurutnya, kemasukan pekerja asing tidak mahir akan memperlahankan peningkatan kadar upah pekerja, sekali gus turut memberi kesan kepada pekerja tidak mahir tempatan.
"Dalam keadaan demikian, besar kemungkinan upah pekerja tidak mahir dalam kalangan penduduk tempatan jauh lebih rendah daripada pendapatan per kapita negara, seterusnya meluaskan jurang pendapatan dalam ekonomi," jelasnya.

Beliau turut menarik perhatian bahawa peningkatan jumlah pekerja asing yang bekerja sendiri boleh menjejaskan peluang peniaga Bumiputera.

"Pada tahun 2007, jumlah mereka kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan pekerja asing dan kini mungkin lebih tinggi, dan ini akan menjejaskan peluang sub-kontraktor Bumiputera kerana tidak mampu bersaing dari segi kos," katanya.

Asan Ali menambah pengusaha asing juga lebih cenderung untuk mengambil pekerja dalam kalangan pekerja asing dari negara asal mereka menyebabkan masalah pertambahan pekerja asing di negara ini.

Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan MPN Prof Dr Zakaria Kasa melahirkan kebimbangan dengan nasib anak-anak pekerja asing tanpa izin yang tidak mendapat peluang pendidikan kerana tidak mempunyai dokumen kelahiran atau dokumen perjalanan yang sah.

Anak-anak itu 'tidak seharusnya dinafikan hak terhadap pendidikan' atas kesalahan yang dilakukan ibu bapa mereka, kerana tanpa pelajaran, mereka akan terus berada di takuk lama, katanya.

"Golongan ini menjadi suatu dilema. Mereka tidak boleh ke sekolah biasa, namun dalam masa sama tidak mampu untuk ke sekolah antarabangsa. Cuma ada beberapa sahaja yang bernasib baik dapat menguasai kemahiran asas di sekolah yang diwujudkan oleh pertubuhan bukan kerajaan atau sebagainya," katanya. - BERNAMA