Oleh Datuk Wan Ahmad
Fauzi Wan Husain
Sempena dengan bulan kemerdekaan, setiap warganegara
perlu mengulangi rasa kesyukuran. Campur tangan British di Semenanjung Tanah
Melayu serta penjajahan Sabah dan Sarawak, pada hakikatnya berpusat pada
kepentingan pelaburan mereka dalam aktiviti ekonomi. Kesan campur tangan
British di Semenanjung Tanah Melayu misalnya, mewujudkan masyarakat berbilang
keturunan dan kepercayaan agama yang selama ini; rakyat Raja hanyalah orang
Melayu (termasuklah pribumi) dan Islam sebagai undang-undang watan.
Apabila Persekutuan Tanah Melayu dimasyhurkan
berkerajaan sendiri pada 31 Ogos 1957, kewarganegaraan secara Persekutuan
diwujudkan. Justeru, bangsa Melayu, bangsa asal Tanah Melayu bersetuju menerima
sama rakyat British yang cukup syarat sebagai warganegara.
Menurut Anderson, 'bangsa' (nation) adalah entiti yang
dijelmakan dalam kerangka 'state', tanpa mengambil kira darah keturunan. Perlu
dinyatakan bahawa Dr Burhanuddin al-Helmi pernah mencadangkan agar semua
warganegara Persekutuan itu dikenali sebagai bangsa Melayu, sesuai dengan
kedudukan Tanah Melayu sebagai nama tanah air ini.
Namun begitu, cadangan beliau ditolak kerana jati diri
Melayu itu tidak dapat dipisahkan daripada penganutan Islam. Menurut
Rekonfigurasi Epistemologi Jati Diri Melayu (2013), bangsa Melayu terdiri
daripada penganutan Islam, rakyat raja Melayu, berbahasa Melayu, mengamalkan
adat resam Melayu, keinginan menjadi Melayu dan keturunan salah satu pasangan
Melayu.
Barangkali kerana terlepas pandang, rakyat British
yang datang dari Tanah Besar China dan India masih dipanggil sebagai bangsa
Cina dan India, sedangkan apabila mereka menjadi warganegara Persekutuan,
pengenalan bangsa mereka sewajarnya Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya
(kerana istilah Melayu itu dari sudut perlembagaan disyaratkan beragama Islam).
Sebagai alternatifnya, pengenalan khas mereka boleh
dikekalkan melalui etnik, misalnya warganegara Malaysia etnik Hakka, kerana
menurut Anderson, 'etnik' adalah komuniti yang dijelmakan dalam kerangka yang
terhad iaitu darah keturunan, bahasa, kebudayaan dan agama pada sesuatu 'jenis'
kumpulan etnik itu.
Walau apapun, istilah yang digunakan buat masa kini,
keharmonian hidup dan ketenteraman awam dalam masyarakat berbilang agama dan
keturunan adalah tanggungjawab bersama-sama yang mesti ditegakkan menurut
konsep kedaulatan dan kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan. Dua aspek itu dikhususkan di sini kerana mutakhir ini masih ada
pihak bertopengkan pejuang hak kesamarataan memutarbelitkan peruntukan Perkara
11 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Lebih malang lagi, kumpulan ini didapati bersuara
lantang apabila mempertikai kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan
hak kebebasan orang Islam untuk beramal dengan ajaran Islam secara syumul.
Semua pihak perlu akur bahawa penginstitusian Perlembagaan pada 1957 diabsahkan
atas kedaulatan Raja-Raja Melayu dan konsep kedaulatan itu diwarisi daripada
Kesultanan Melayu Melaka.
Memelihara keharmonian, kesejahteraan rakyat
Justeru, ajaran Islam yang menjadi akidah Raja-Raja
Melayu adalah ciri-ciri kedaulatan, disuntik dalam Perlembagaan Persekutuan
Tanah Melayu 1957, maka dengan itu, kedudukan agama Islam tidak boleh
disamatarafkan dengan agama lain di Tanah Melayu. Seterusnya, apabila Sabah dan
Sarawak menyertai Malaysia pada 1963, peruntukan khas bagi Sabah dan Sarawak
dipersetujui, maka sebagai balasan, semua peruntukan lain termasuklah konsep
kedaulatan negara menurut Perkara 181 dan Islam sebagai agama bagi Persekutuan
menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dikekalkan.
Selaras dengan kedudukan di atas, kebebasan beragama
bagi orang Islam mempunyai ruang lebih besar dan dibenarkan diskriminasi agama
bagi manfaat orang Islam seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Berbeza dengan penganut dan ajaran agama lain, Perlembagaan Persekutuan
mengenakan sekatan tertentu, antaranya mereka diharamkan mendakyah orang Islam,
menjejaskan konsep kedaulatan Malaysia bersumberkan ajaran Islam, menuntut
belanjawan khas bagi tujuan agama-agama mereka, menganjurkan perbuatan yang
bercanggah dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.
Justeru, konsep kebebasan beragama bagi orang bukan
Islam dijamin dalam ruang yang dinyatakan. Kedudukan di atas ditetapkan bukan
sahaja untuk memelihara keharmonian dan kesejahteraan rakyat bermajoriti
penganut Islam bahkan mempunyai sejarah perundangan watan yang perlu dihormati.
Oleh demikian, seruan untuk mengekalkan keharmonian, toleransi kaum dan agama
semestinya dilandaskan atas premis seperti dinyatakan.
Sudah tiba masanya pembinaan jati diri watan
warganegara Malaysia diberi penekanan sewajarnya oleh kerajaan. Justeru,
pembinaan jati diri watan warganegara atau bangsa Malaysia (tanpa menafikan
kewujudan bangsa Melayu) hendaklah berteraskan unsur-unsur watan dalam kerangka
Perlembagaan Persekutuan, iaitu menghormati Islam sebagai agama bagi Persekutuan,
kesetiaan pada kedaulatan Raja-Raja Melayu, berbahasa Melayu, mengamalkan
nilai-nilai murni adat tempatan masing-masing (adat Melayu bagi penduduk
Semenanjung Tanah Melayu; bagi penduduk-penduduk Sabah dan Sarawak pula perlu
menghormati nilai-nilai murni adat Anak Negeri masing-masing), memiliki
perasaan cinta pada Malaysia dan anak daripada salah seorang pasangan warga
Malaysia.
Hanya melalui fahaman jati diri watan, perpaduan
nasional dapat dibangunkan dan semangat kekitaan warganegara Malaysia dapat
ditiupkan secara adil.
Penulis adalah Ketua Lajnah Kajian Strategik Majlis
Ittihad Ummah