Oleh Dr
Rahmah Ismail
KEMENTERIAN
Dalam Negeri pada tahun lalu melaporkan pekerja asing berdaftar di negara ini
berjumlah 2.1 juta atau 15.5 peratus daripada keseluruhan guna tenaga di
Malaysia, manakala pekerja asing tanpa izin dianggarkan berjumlah melebihi tiga
juta orang.
Hampir
separuh pekerja asing berdaftar berasal dari Indonesia, diikuti Nepal dan
Bangladesh, bakinya dari pelbagai negara seperti India, Myanmar, Pakistan,
Filipina dan Vietnam.
Kebanyakan
mereka terdiri daripada pekerja separa mahir dan tidak mahir yang mendominasi
sektor pembuatan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan. Pada 2015, pegawai
dagang yang merupakan pekerja profesional asing tidak sampai pun 10 peratus.
Kehadiran pekerja asing secara berlebihan adalah satu fenomena membimbangkan
negara. Apa yang lebih membimbangkan adalah kemasukan mereka secara tidak sah
yang jumlahnya mengatasi pekerja asing secara sah.
Pekerja
sememangnya diperlukan dalam sesuatu proses pengeluaran kerana ia adalah input
penting dan sebagai penggerak kepada input lain. Tanpa pekerja mencukupi,
proses pengeluaran boleh terbantut dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi sesebuah
negara. Dalam konteks ini, pekerja berkualiti amat diperlukan kerana mereka
dikatakan lebih produktif yang akhirnya membawa kepada pertumbuhan ekonomi
lebih tinggi.
Namun,
persoalannya adakah pekerja asing mempunyai ciri-ciri ini dan mampu
dimanfaatkan dengan sepenuhnya? Dalam erti kata lain, adakah kehadiran mereka
mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dan pada masa sama, tidak membawa
kesan negatif kepada ekonomi dan sosial di Malaysia? Bagi menjawab persoalan
ini, kita perlu melihat kepada kesan positif dan negatif daripada kemasukan dan
penggajian pekerja asing.
- Meringankan beban majikan dalam mendapatkan pekerja. Kehadiran pekerja asing sama ada secara sah mahupun tidak sah mampu menyelesaikan masalah majikan dalam mendapatkan pekerja ketika diperlukan. Ini boleh menjimatkan kos pencarian dan kos masa yang boleh membantutkan 'output' sesebuah operasi pengeluaran.
- Menjimatkan kos pengeluaran. Pekerja asing sanggup menerima upah lebih rendah dan bekerja lebih masa. Walaupun kerajaan telah melaksanakan upah minimum, majikan masih boleh mengelak daripada membayar pekerja upah minimum ini dengan mengambil pekerja asing tidak sah. Malah pekerja asing ini sanggup menerima apa saja upah dibayar, di samping mampu memberi komitmen yang lebih tinggi berbanding dengan pekerja tempatan.
Menurut
teori neoklasik, input menyumbang secara positif kepada output. Maka
peningkatan dalam pengambilan pekerja asing ini menyumbang kepada bilangan guna
tenaga dan meningkatkan output negara. Setiap aktiviti ekonomi memerlukan
permintaan yang tinggi dan sentiasa meningkat.
Kehadiran
pekerja asing meningkatkan jumlah permintaan negara kerana mereka akan
berbelanja untuk keperluan keluarga. Aktiviti perbelanjaan mereka akan
meningkatkan kuasa beli negara dan mendorong kepada pengeluaran yang lebih
tinggi.
Kesan
negatif
Walaupun
pekerja asing mampu meningkatkan output, pertumbuhan output menjadi perlahan
kerana kebanyakan mereka adalah tidak mahir. Kajian menunjukkan sumbangan
positif mereka terhadap pertumbuhan output hanya daripada pekerja asing mahir
dan separa mahir. Itu pun ia hanya berlaku dalam jangka panjang selepas mereka
lebih berpengalaman dalam pekerjaan masing-masing.
Sebahagian
besar pekerja asing adalah tidak mahir dan sanggup menerima upah rendah. Ini
boleh membantutkan pertumbuhan upah dan menyekat pekerja tempatan dalam proses
tawar menawar upah, lebih-lebih lagi sekiranya pekerja asing itu pengganti
kepada pekerja tempatan.
Kenaikan
kadar upah yang tidak sejajar dengan pertumbuhan produktiviti memang pun
menjadi isu penting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia (Bank Dunia, 2010).
Malah, isu utama yang membawa kepada pelaksanaan upah minimum adalah bagi
meningkatkan pertumbuhan upah sejajar dengan pertumbuhan produktiviti.
Malah, ada
sektor yang mempunyai pekerja profesional kurang daripada lima peratus seperti
sektor pertanian dan pembinaan (Jabatan Perangkaan 2012). Satu daripada
penyumbang kepada rendahnya peratus ini adalah kehadiran pekerja asing tidak
mahir yang terlalu ramai.
Walaupun
kadar pengangguran di Malaysia adalah sekitar 2.8 peratus pada 2014, jumlah
penganggur meningkat dan masih kelihatan besar, iaitu melebihi 410,007 pada
2014, peningkatan sebanyak 6,300 dibandingkan dengan 2010. Sebahagian besar
penganggur adalah berpendidikan peringkat menengah, iaitu melebihi 50 peratus
daripada jumlah penganggur sepanjang 2008 hingga 2014 (Kementerian Sumber
Manusia 2015). Persoalannya adakah mereka ini tidak mampu memegang jawatan atau
bekerja di tempat yang dikuasai pekerja asing?
Kesan
negatif lebih dominan
Secara
imbasan kesan negatif lebih dominan daripada kesan positif. Saban hari kita
dikejutkan dengan pengangguran siswazah yang menggambarkan terlebih penawaran
daripada yang diperlukan pasaran. Mungkin Malaysia masih memerlukan pekerja
berkemahiran rendah, namun kita terlebih didik rakyat tempatan.
Kemungkinan
pula pekerjaan yang tersedia banyak yang berbentuk sektor pekerjaan sukar,
kotor dan berbahaya (3D) tidak sanggup dilakukan oleh rakyat tempatan, walaupun
mereka berpendidikan rendah dan pekerjaan itu sesuai dengan kelayakan akademik
mereka. Jika kita meninjau data pasaran buruh Malaysia, kelihatan masalah
ketaksepadanan agak serius. Pada satu sudut kita lihat lambakan pekerjaan tidak
terisi dan di sudut lain, jumlah penganggur masih berleluasa. Malah akhir-akhir
ini kita dikejutkan dengan banyak kes pembuangan kerja oleh syarikat swasta di
Malaysia.
Lazimnya
pekerja asing memang masih diperlukan di Malaysia. Namun persoalannya, berapa
ramai dan apakah tahap mereka yang sepatutnya diambil? Dalam jangka pendek
pengambilan pekerja asing tidak mahir mungkin tidak boleh dielakkan. Namun,
mereka perlu dihadkan kepada sektor tertentu seperti pertanian dan pembinaan.
Sektor lain perlu dibuka luas kepada pekerja tempatan terutama yang
berkelulusan menengah dan layak bekerja di sektor perkhidmatan dan pembuatan.
Dalam jangka
panjang kerajaan perlu mempunyai strategi tertentu dalam mengoptimumkan
kehadiran pekerja asing. Malaysia menuju ke arah negara maju yang bertunjangkan
teknologi tinggi dan penggenap kepadanya adalah pekerja berkemahiran tinggi.
Oleh itu, selagi berlaku ledakan pekerja asing tidak mahir, selagi itu ia
memberi gambaran kepada teknologi rendah yang masih mendominasi proses
pengeluaran di Malaysia.
Ini memberi
implikasi negatif kepada pertumbuhan output, produktiviti dan keperluan kemahiran,
sekali gus memburukkan lagi masalah pengangguran siswazah dalam jangka panjang.
Sektor swasta yang mendominasikan dua pertiga daripada jumlah pekerjaan di
Malaysia, mempunyai tanggung jawab besar dalam mengoptimumkan pekerja asing.
- Ketelusan dalam mengambil pekerja. Majikan perlu telus dalam mengambil pekerja dengan mengiklankan keperluan pekerja dan mengutamakan pekerja tempatan. Dalam hal ini campur tangan kerajaan diperlukan dalam merangka undang-undang bagi memastikan perkara ini berlaku.
- Pembayaran upah yang lebih tinggi. Majikan perlu lebih bertimbang rasa dalam menawarkan upah yang lebih tinggi tanpa mengaut keuntungan berlebihan. Ini boleh menarik minat pekerja tempatan untuk menceburi pekerjaan yang kini dipenuhi pekerja asing. Berdasarkan kepada bilangan penganggur yang ramai berpendidikan menengah, adalah tidak sukar bagi mereka berkecimpung dalam pekerjaan tahap rendah yang kini dipegang oleh pekerja asing.
- Perubahan minda pekerja tempatan. Dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat, mereka sepatutnya mengubah minda agar tidak terlalu memilih pekerjaan. Contohnya, pekerjaan di sektor pembuatan dan perkhidmatan mampu dilakukan oleh pekerja tempatan. Pekerja asing sepatutnya dihadkan kepada pekerjaan sektor pertanian dan pembinaan yang memerlukan tenaga berat yang mungkin tidak mampu dilakukan oleh pekerja tempatan.
- Komited terhadap pekerjaan. Pekerja tempatan perlu lebih komited terhadap pekerjaan seiring dengan apa yang mampu dilakukan oleh pekerja asing. Mereka perlu menghayati konsep bahawa pekerjaan adalah satu amanah yang perlu dilakukan dengan baik dan berkesan.
Pekerja
tempatan perlu bijak mencari peluang pekerjaan di negara sendiri. Sudah tiba
masanya rakyat tempatan mengubah minda ke arah yang lebih positif dan merebut
peluang pekerjaan yang tersedia. Sebagai rumusannya, pengambilan pekerja asing
diperlukan dalam memenuhi pekerjaan di sektor tertentu sahaja seperti pembinaan
dan pertanian.
Namun, bagi
merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, pengambilan mereka yang tidak mahir perlu
dikurangkan dan dalam masa sama, kehadiran pekerja asing tanpa izin perlu
dibanteras agar ia tidak mengganggu pelaksanaan dasar kerajaan seperti upah
minimum. Nisbah pekerja berkemahiran perlu ditingkatkan seiring dengan misi
Malaysia mencapai negara maju menjelang 2020 yang bertunjangkan teknologi
tinggi dan buruh berkemahiran tinggi.
Penulis
ialah Profesor di Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM