Sunday, July 28, 2019

Sambutan perayaan berbilang kaum, agama kunci negara aman


KUALA LUMPUR: Sambutan perayaan yang diraikan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama di negara ini, berjaya membina pemahaman dan rasa hormat dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ia adalah kunci keamanan dan keharmonian dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama, sekali gus menjadi asas kepada pembinaan negara dan berupaya mencapai semangat 1Malaysia.
Katanya, menghormati budaya dan agama etnik lain menjadi ciri kepada masyarakat berbilang kaum dan menjadi kewajipan setiap rakyat untuk terus mengekalkan tanggungjawab berkenaan menerusi amalan lima prinsip Rukun Negara.
Beliau berkata, perayaan tahunan seperti Aidilfitri, Krismas, Deepavali dan Tahun Baharu Cina adalah perayaan yang memanfaatkan semua kaum dari segi memupuk keharmonian, keamanan dan perpaduan.
"Rakyat Malaysia harus berasa berbangga kerana dapat meraikan pelbagai perayaan dalam keadaan aman dan damai.
"Sejak merdeka, tugas yang penting bagi setiap rakyat adalah menyumbang ke arah perpaduan negara serta berusaha meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan sosial negara kita.
"Perpaduan adalah kunci kepada kejayaan negara. Oleh itu, rakyat perlu menggunakan setiap peluang yang ada untuk mengukuhkan semangat perpaduan melalui pelbagai aktiviti membabitkan semua kaum," katanya dalam kenyataan hari ini.
Lam Thye berkata, rakyat Malaysia harus komited untuk menjamin keharmonian, keamanan dan perpaduan negara, malah usaha gigih harus berterusan bagi menggalakkan budaya keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan negara.