Oleh Datuk Wan Ahmad
Fauzi Wan Husain
ANTARA sudut penting yang masih kurang diberi
penekanan dalam penulisan ilmiah mahupun sejarah, bahawa kedaulatan Raja-Raja
Melayu itulah menginstitusikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Rencana
ini bertujuan untuk membincangkan implikasi kedaulatan Raja-Raja Melayu melalui
kerangka watan dari sudut prinsip kuasa eksekutif dalam Perkara 39 Perlembagaan
Persekutuan.
Seperti dijelaskan dalam Kedaulatan Watan Berpaksi
Ajaran Islam (Berita Harian, 12 Mei 2017) dan Perkara 181(1) Perkukuh
Kedaulatan Raja (Berita Harian, 13 Julai 2017), kedaulatan watan Raja-raja
Melayu dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan bersumberkan ajaran Islam.
Justeru, pemakaian kerangka Barat dalam pentafsiran
peruntukan undang-undang sudah pasti ada kalanya menghasilkan natijah berbeza
dengan konsep kedaulatan sebenar yang dijunjung oleh perlembagaan Malaysia.
Perkara 39 memperuntukkan, "Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak
hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana
undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan
olehnya atau oleh Jemaah Menteri, atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa
oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh melalui undang-undang, memberi
fungsi eksekutif kepada orang lain."
Konsep kedaulatan dipasak dalam Perlembagaan
Implikasi konsep kedaulatan dalam prinsip perlembagaan
sudah diterima secara universal bahawa kedaulatan itu mencorakkan sistem
politik dan prinsip perundangan sesebuah negara. Dari sudut prinsip kuasa
eksekutif Yang di-Pertuan Agong, baginda adalah terikat dengan konsep
kedaulatan yang dipasak dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan.
Kerangka undang-undang watan memposisikan Raja-Raja
Melayu sebagai khalifah yang terbina atas doktrin pengamanahan kedaulatan
('sovereign trust'). Kedudukan itu diperjelaskan lagi melalui sumpah yang
dilafazkan oleh Yang di-Pertuan Agong apabila baginda berikrar 'mengaku dengan
sesungguh dan dengan sebenarnya memelihara pada setiap masa Agama Islam dan
berdiri tetap atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.'
Sesuai dengan kuasa eksekutif Persekutuan yang
terletak pada Yang di-Pertuan Agong, baginda hendaklah melaksanakan kewajipan
baginda tertakluk pada konsep kedaulatan, sumpah jawatan dan melalui
tatacara-tatacara dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Abdullah @ Alwi Haji Hasan (2005), tujuan
utama pihak Eksekutif dalam sesebuah negara Islam adalah untuk menguatkuasa
perintah Allah SWT yang disampaikan melalui al-Quran dan al-Sunnah. Badan
Eksekutif mengikut perspektif Malaysia terdiri daripada Jemaah menteri,
perkhidmatan awam, polis dan angkatan tentera.
Disebabkan kuasa politik itu lahir daripada kedaulatan
Raja-Raja Melayu, maka tidak hairanlah Yang di-Pertuan Agong, yang merupakan
wakil Raja-Raja Melayu dikehendaki melafazkan sumpah jawatan seperti Jadual 4
Perlembagaan Persekutuan. Implikasi yang sama juga terpakai ke atas setiap
orang dan entiti yang melaksanakan fungsi pemerintahan.
Dalam kata lain, sumpah jawatan itu mengikat Yang
di-Pertuan Agong dan mereka yang melaksanakan kuasa eksekutif baginda untuk
dengan sebenar-benarnya memelihara pada setiap masa agama Islam dan berdiri
tetap atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad
dalam 'The Truth Shall Prevail' menyatakan prinsip perundangan Islam sewajarnya
diserap masuk dalam undang-undang Persekutuan, terpakai kepada orang Islam dan
bukan Islam. Amalan sebegini sudah bermula di Malaysia apabila perbankan Islam
dan takaful ditadbir oleh mahkamah sivil. Beliau menggesa pengharmonian
undang-undang sivil dengan prinsip perundangan Islam kerana percaya 80 peratus
undang-undang sivil pada hari ini bukan `un-Islamic'.
Pelaksanaan perundangan Islam bagi Abdul Hamid Mohamad
perlu dibuat secara berhemat dan bijaksana untuk memastikan `maqasid
syar`iyyah' tercapai. Matlamat utamanya adalah keadilan dan bukan setakat
penguatkuasaan hukuman syariah semata-mata. Gesaan yang sama pernah dibuat oleh
Tun Salleh Abas, Tun Abdul Hamid Omar, Tan Sri Hashim Yeop Abdullah Sani,
Allahyarham Tan Sri Harun Hashim dan Tun Ahmad Fairuz.
Menjamin kesejahteraan rakyat berbilang agama
Pada sisi lain, prinsip kuasa eksekutif bersumberkan
ajaran Islam itu boleh dikuatkuasakan dalam kerangka yang sama selaras dengan
konsep kedaulatan negara seperti termaktub dalam Perkara 181(1) Perlembagaan
Persekutuan.
Dari sudut bingkai lebih besar, prinsip kuasa
eksekutif itu bukan sahaja mengikat semua pelaksana fungsi eksekutif Persekutuan,
bahkan mereka yang bertanggungjawab dalam proses meluluskan undang-undang juga
pentadbir keadilan negara. Ini kerana kewajipan pemerintah dan corak
pemerintahan itu adalah terbit daripada sumber dan ciri-ciri kedaulatan itu.
Jelasnya, prinsip kuasa eksekutif Yang di-Pertuan
Agong adalah premis yang melahirkan tanggungjawab kepada pihak-pihak berkaitan
untuk mendaulatkan prinsip Islam. Prinsip Islam hendaklah diaplikasi ke atas
semua undang-undang sivil, pentadbiran dan dasar-dasar semasa kerajaan. Pengabaian
prinsip itu adalah satu perlanggaran kepada kedaulatan Raja-Raja Melayu yang
dijamin oleh Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan.
Akhirnya, semua pihak yang melaksanakan kuasa
eksekutif Yang di-Pertuan Agong mempunyai kewajipan mematuhi konsep kedaulatan
watan negara di semua peringkat pelaksanaan sesuai dengan kedudukan
undang-undang Islam sebagai `law of the land'. Syarat pelaksanaan pemerintahan
atas prinsip keadilan, pasti menjamin kesejahteraan rakyat berbilang agama dan
keturunan.
Penulis ialah Ketua Lajnah Kajian Stategik Majlis
Itthihad Ummah