Oleh Datuk Dr Wan
Ahmad Fauzi Wan Husain
Malaysia pada hari ini bukan sebuah persekutuan yang
bermula daripada kekosongan. Pada peringkat awal, ia adalah pemersekutuan sembilan
Kerajaan Melayu berdaulat dengan dua Negeri Selat pada 21 Januari 1948, diikat
melalui Perjanjian Persekutuan.
Ketatanegaraan Malaysia sebagai sebuah persekutuan
perlu difahami dalam kerangka Persekutuan Tanah Melayu sebelum penyertaan Sabah
dan Sarawak. Bertitik tolak daripada itu, setakat peruntukan khas yang
diberikan kepada Sabah dan Sarawak, sama ada dalam bentuk pengecualian atau hak
tertentu, baki peruntukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 seperti
terikat ke atas Persekutuan Tanah Melayu adalah terpakai kepada Sabah dan
Sarawak.
Implikasinya, kedaulatan Raja-Raja Melayu diberi taat
setia berserta unsur watan Tanah Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan
Persekutuan, maka pada 16 September 1963 lahir Malaysia yang disertai sama
Singapura. Perlu dinyatakan dengan tegas bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu
sebagai pemerintah Tanah Melayu, Islam sebagai undang-undang watan (law of the
land), hak orang Melayu sebagai bangsa asal Tanah Melayu, bahasa Melayu yang
sekian lama bertaraf Nusantara dan amalan adat Melayu adalah unsur watan atau
warisan, berakar umbi dan adalah jati diri Tanah Melayu sejak Kesultanan Melayu
Melaka.
Dirunding atas perkenan Raja-Raja Melayu
Semua unsur watan di atas dijelaskan Perjanjian Negeri
1948, seterusnya dipelihara dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957
sebagai jati diri bangsa.
Selain daripada peruntukan Perlembagaan yang
merakamkan unsur watan dalam bentuk perlembagaan bertulis bersifat moden,
peruntukan lain adalah persetujuan Raja-Raja Melayu selepas menerima kehendak
British untuk memperkenalkan sistem demokrasi berparlimen, serta rundingan
dengan Perikatan yang mewakili rakyat dan pandangan pelbagai pihak. Perlu
dinyatakan, kepentingan sah kaum lain sebagai warganegara juga diakui selepas
ia dirundingkan atas perkenan Raja-Raja Melayu. Atas premis di atas maka rakyat
British diterima menjadi warga Persekutuan Tanah Melayu. Pada ketika itu, orang
yang tidak tergolong dalam rakyat Raja-Raja Melayu yang mendiami Tanah Melayu
dianggap sebagai rakyat British.
Selepas sekian lama kerajaan negeri bersekutu sebagai
sebuah Persekutuan, satu aspek penting yang sering diabaikan apabila timbul isu
antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri adalah hakikat bahawa kuasa
yang ada pada Kerajaan Persekutuan pada hari ini asalnya pemberian kerajaan
negeri melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan
pindaan yang dibuat ke atas semua Perlembagaan Negeri (Rujuk CO 889/8.
Memorandum Cadangan DYMM Raja-Raja Melayu).
Satu perkara perlu difahami, walau apapun alasan lain
diberikan kepada atau bagi penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang kemudian
menjadi Malaysia, ia diinstitusikan oleh dan dengan kedaulatan Raja-Raja
Melayu.
Kuasa yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong (dan
fungsi eksekutif yang boleh dilaksanakan oleh mereka yang diberi kuasa melalui
undang-undang) dan hasil yang boleh dikutip oleh Kerajaan Persekutuan adalah
daripada apa yang diserahkan atau/dan didelegat oleh Raja-Raja Melayu atas
syarat asal yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.
Sebagai balasannya, maka kedaulatan Raja-Raja Melayu
terus dipelihara dan dipasak dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara
181(1). Dalam teks asal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957,
peruntukannya berbunyi, "Dengan terta'lok kepada syarat Perlembagaan ini,
maka kedaulatan, keutamaan, kuasa, dan kekuasaan Raja2 dan keutamaan2, kuasa2
dan kekuasaan Undang2 dan Orang Besar Negeri Sembilan di-dalam negeri atau
daerah masing-masing sa-bagaimana pada masa yang sudah2 itu hendaklah kekal
tidak di-sentoh."
Pada sisi lain, Senarai Persekutuan dan Senarai
Bersama yang boleh dilaksanakan atau dikuatkuasakan oleh Kerajaan Persekutuan
sewajarnya dilihat sebagai balasan dalam bentuk perkhidmatan dan kewajipan yang
perlu ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada negeri atas penyerahan atau
delegasi kuasa dan hak negeri kepada Persekutuan seperti diperuntukkan dalam
Fasal (1) Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan.
Atas posisi di atas, prinsip kuasa eksekutif yang
dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan hendaklah pada setiap masa menjaga hak semua
kerajaan negeri dan kebajikan rakyat negeri dengan adil.
Dua jati diri Tanah Melayu ialah Islam dan Raja Melayu
Dari sisi sama, kerana dua unsur teras yang membina
jati diri Tanah Melayu adalah Islam dan Institusi Raja Melayu, maka disyaratkan
Yang di-Pertuan Agong untuk mengikrarkan Sumpah Berjawatan seperti dalam Jadual
4 di bawah Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan sebelum melaksanakan amanah
pemerintahan, ditubuhkan Majlis Raja-Raja pada peringkat Persekutuan juga wakil
negeri dalam Dewan Negara untuk memantau hak negeri.
Bahkan diperuntukkan bahawa tiada undang-undang yang
secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran
raja-raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.
Oleh itu, berpegang pada premis di atas, maka hubungan
antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri perlu dilaksanakan dalam
kerangka konsep kedaulatan Raja-Raja Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan
Persekutuan.
Penulis adalah Ketua Lajnah Kajian Strategik Majlis
Ittihad Ummah